Color
Text

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DI ALAM PERDANA

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah melaksanakan satu Operasi Bersepadu Premis Warga Asing pada 23 April 2025 (Rabu), bertempat di sekitar Alam Perdana, Puncak Alam. Operasi ini berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang dan melibatkan kekuatan seramai 37 anggota daripada pelbagai jabatan MPKS serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Objektif utama operasi adalah untuk membanteras aktiviti perniagaan tidak sah yang dijalankan oleh warga asing tanpa lesen perniagaan yang sah.

Hasil daripada operasi tersebut, sebanyak lima premis telah diperiksa. Tiga premis dikesan beroperasi secara sah dengan lesen perniagaan, satu premis tidak berlesen, manakala satu premis didapati tidak beroperasi semasa pemeriksaan dijalankan. Tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap premis yang melanggar peraturan termasuk penarikan lesen perniagaan, pengeluaran notis memberhentikan perniagaan, serta kompaun terhadap premis yang dikendalikan oleh warga asing.

Jabatan Penguatkuasa MPKS telah mengambil tindakan terhadap dua buah kedai serbaneka yang dikendalikan oleh warga Bangladesh dengan menarik balik lesen perniagaan dan mengeluarkan notis memberhentikan operasi. Sebuah premis runcit yang dikendalikan oleh warga Myanmar turut dikenakan kompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen, selain disita peralatan perniagaan dan dikeluarkan notis penutupan.

Dalam masa yang sama, Jabatan Kesihatan MPKS turut mengenakan dua kompaun ke atas premis makanan yang gagal menjaga kebersihan kawasan penyediaan makanan dan pengendali makanan, seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil MPKS. Jabatan Kawalan Bangunan telah menjalankan semakan berkaitan kelulusan tambahan bangunan, manakala Jabatan Pelesenan melakukan bancian dan semakan permohonan lesen. SSM pula telah mengeluarkan kompaun kepada satu premis kerana tidak mempamerkan papan tanda dan nombor pendaftaran perniagaan.

Tindakan bersepadu seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memelihara kepentingan penduduk setempat serta memastikan persekitaran perniagaan yang bersih, teratur dan mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan.

#KualaSelangor

#IndahdanBersejarah

#MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS