MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2024 MPKS
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 pada 24 April 2025 bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor. Majlis ini merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk menghargai usaha, komitmen, dan kecemerlangan warga kerja MPKS sepanjang tahun 2024.
Sebanyak 34 orang kakitangan daripada pelbagai jabatan dan unit telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas prestasi kerja yang cemerlang dan dedikasi tinggi dalam melaksanakan tugasan. Anugerah ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada penerima, malah menjadi inspirasi kepada warga kerja lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.
Selain itu, 9 orang kakitangan turut menerima Anugerah Perkhidmatan Setia 25 Tahun, sebagai penghargaan terhadap kesetiaan dan khidmat bakti mereka kepada organisasi. Penghargaan juga diberikan kepada 9 orang kakitangan yang telah bersara, sebagai tanda terima kasih atas sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
Dalam majlis yang sama, kumpulan Inovasi MPKS dan Projek Khas MPKS turut diberikan pengiktirafan atas kejayaan mereka melaksanakan inisiatif dan projek yang menyumbang kepada penambahbaikan sistem kerja dan penyampaian perkhidmatan. Inovasi dan komitmen sebegini amat penting dalam memastikan MPKS terus bergerak maju dan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBrs. Tuan Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua MPKS, dan YBrs. TPr. Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha MPKS. Majlis ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan, malah mengeratkan hubungan antara kakitangan serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga MPKS.
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS