OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DAERAH KUALA SELANGOR
Tanjong Karang, 14 Mei 2025 – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah menjalankan satu Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di sekitar kawasan Tanjong Karang dan Kuala Selangor. Operasi yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang oleh premis perniagaan warga asing, khususnya dari aspek pelesenan, struktur bangunan, kebersihan dan pendaftaran perniagaan. Seramai 35 anggota pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi ini, termasuk Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Unit Korporat MPKS dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Lima premis telah diperiksa dalam operasi tersebut, dengan tiga daripadanya beroperasi dan dua tidak beroperasi. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dilakukan termasuk perniagaan tanpa lesen, tambahan bangunan tanpa kelulusan, dan kegagalan mempamerkan papan tanda serta nombor pendaftaran perniagaan. Sebanyak tiga kompaun telah dikeluarkan oleh MPKS, selain tiga notis penutupan premis dan empat tindakan sitaan peralatan perniagaan. SSM turut mengeluarkan satu kompaun terhadap sebuah premis yang tidak mematuhi peraturan pendaftaran perniagaan.
Jabatan Kawalan Bangunan MPKS mengeluarkan notis pemberitahuan mengikut Akta 133, manakala Jabatan Kesihatan mengambil tindakan susulan terhadap premis yang menumpahkan cecair kotor di tempat awam. Jabatan Pembangunan Masyarakat pula membantu dari aspek logistik dan pengurusan sitaan sepanjang operasi dijalankan. Tindakan tidak dapat diambil terhadap beberapa premis kerana tiada maklumat pemilik diperoleh. Walaubagaimanapun, pihak Majlis telah memberikan notis penutupan premis.
MPKS akan meneruskan operasi bersepadu secara berkala bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang dan syarat perniagaan. MPKS menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana premis yang beroperasi secara haram atau menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan persekitaran. Semua pengusaha premis digesa agar menjalankan perniagaan secara sah dan bertanggungjawab demi kebaikan bersama.
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS