SAMBUTAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA (HPBS) PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2025
Sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Selangor 2025, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menerima Anugerah Bandar Paling Mampan Kategori Perbandaran Negeri Selangor Tahun 2025. Majlis yang berlangsung penuh meriah di Dataran Malawati, Kuala Selangor ini telah dianjurkan oleh PlanMalaysia@Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Y.B. Dato' Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan & Pelancongan Negeri Selangor; Y.B. Datuk Borhan bin Aman Shah, EXCO Perumahan & Kebudayaan Negeri Selangor; serta Y.B. Datuk Hj. Rizam bin Hj. Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna Negeri Selangor. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Datuk TPr Dr. Alias bin Rameli, Ketua Pengarah PlanMalaysia; TPr Khairulzaman bin Ibrahim, Pengarah PlanMalaysia@Selangor; dan YBrs. Tuan Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor.
Dalam majlis berprestij ini, turut berlangsung penyerahan Buku Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kuala Selangor 2035 serta Buku Blueprint Bandar Pintar MPKS sebagai simbol komitmen MPKS terhadap pembangunan mampan dan transformasi bandar ke arah konsep Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar. Langkah ini mencerminkan kesungguhan MPKS dalam melaksanakan perancangan bandar yang progresif dan berdaya tahan, seiring dengan agenda pembangunan negeri dan negara.
Sambutan HPBS tahun ini bertemakan “Pembaharuan Semula Bandar: Agenda Perancangan Untuk Rakyat”, turut menyaksikan pelancaran projek Rejuvenasi Lorong Belakang kepada Laluan Seni Pekan Lama, yang dijangka menjadi tarikan pelancong baharu di Daerah Kuala Selangor. Inisiatif ini bukan sahaja memperindah kawasan bandar lama, malah menghidupkan semula warisan dan identiti tempatan melalui seni, budaya dan kreativiti komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang sambutan ini bagi menarik penyertaan masyarakat pelbagai peringkat usia. Antara pengisian yang menjadi tumpuan ialah Kuala Selangor Half Marathon yang julung kalinya di Kuala Selangor, Eco Plastic Explorer, Kempen Bumi Hijau 2.0, Pameran Jabatan dan Agensi, Permainan Sukan Rakyat, Saringan Kesihatan Percuma, Jualan Ehsan Rahmah serta Petting Zoo yang menjadi tumpuan pengunjung dan keluarga.
MPKS terus komited untuk melaksanakan pembangunan bandar yang hijau, pintar, inklusif dan berdaya huni demi kesejahteraan komuniti setempat. Melalui pengiktirafan yang diterima ini, MPKS akan terus memperkukuh usaha ke arah menjadikan Kuala Selangor sebagai bandar mampan yang seimbang antara kemajuan, pemeliharaan alam sekitar dan kualiti hidup rakyat.
#BandarMampan #BandarPintar #MajuBersama
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

