Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DI SEKITAR BUKIT KUCHING DAN SUNGAI BULOH

Dalam usaha memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga kesejahteraan masyarakat setempat, Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di sekitar Bukit Kuching dan Sungai Buloh, Jeram pada 11 November 2025.

Operasi yang dijalankan dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang ini melibatkan kekuatan seramai 55 anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi termasuk Jabatan Penguatkuasa, Kawalan Bangunan, Pelesenan, Kesihatan dan Persekitaran, Pembangunan Masyarakat, Unit Korporat MPKS, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta KPDN Kuala Selangor.

Sebanyak 9 premis diperiksa dalam operasi ini dengan 8 premis beroperasi dan 1 premis tidak beroperasi. Hasil pemeriksaan telah menghasilkan 11 kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007, serta Undang-Undang Kecil Kesihatan Awam (MDKS) 2007. Selain itu, sebanyak 8 notis penutupan premis telah dikeluarkan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil yang sama atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Tindakan sitaan turut diambil ke atas 4 premis di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 melibatkan pelbagai barangan seperti tong gas, peti sejuk, minuman berkarbonat, mesin timbang dan peralatan perniagaan lain.

MPKS akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan setiap peniaga beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan, sekaligus menjamin aspek kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti di daerah Kuala Selangor.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS