Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI BERSEPADU KILANG TANPA KEBENARAN MPKS DI JERAM

Operasi Bersepadu Kilang Tanpa Kebenaran MPKS di Jeram

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Kilang Tanpa Kebenaran di kawasan Jeram pada 19 November 2025. Operasi yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang ini disertai seramai 42 anggota melibatkan pelbagai jabatan MPKS bersama agensi teknikal seperti SPAN, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Syarikat Air Selangor dan TNB Kuala Selangor. Operasi menumpukan tindakan terhadap dua premis industri yang dikesan beroperasi tanpa kebenaran iaitu kilang memproses tayar terpakai dan kilang memproses batu bata.

Sepanjang operasi, tindakan penguatkuasaan telah diambil mengikut peruntukan undang-undang antaranya Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) atas kesalahan tidak mematuhi notis serta Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan. Jabatan Kesihatan & Persekitaran MPKS turut mengambil tindakan di bawah UUK 17, UUK 22 dan UUK 32 Undang-Undang Kecil PTPP (MDKS) 2007 berhubung kebersihan, pelepasan kumbahan dan kacauganggu habuk serta bunyi.

Tindakan lanjut turut melibatkan pengeluaran notis di bawah Seksyen 82(5) Akta 133 terhadap aktiviti yang menyebabkan kacauganggu kepada persekitaran. Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk tujuan siasatan berkaitan pelepasan udara. Dalam masa yang sama, Jabatan Perancangan Pembangunan MPKS dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor turut mengambil tindakan susulan di bawah kategori Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) bagi memastikan proses pematuhan dapat dilaksanakan oleh pihak pemilik premis.

Selain tindakan kompaun dan notis, operasi ini turut melibatkan pemotongan dan rampasan meter air oleh Air Selangor setelah mendapat kelulusan SPAN. Bagi bekalan elektrik, TNB Kuala Selangor telah membuat semakan pemilikan meter dan mengambil maklumat lengkap bagi proses pengeluaran notis pemotongan bekalan elektrik, mengikut prosedur yang ditetapkan tanpa melakukan pemotongan serta-merta di lokasi.

Melalui operasi ini, MPKS berjaya melaksanakan dua tindakan penutupan premis serta mengeluarkan empat kompaun melibatkan pelbagai peruntukan undang-undang tempatan. Secara keseluruhannya, sebanyak 17 peralatan perniagaan telah berjaya disita, termasuk forklift, mesin compressor, wheel loader, hoist elektrik, mesin pemotong besi, peralatan welding dan beberapa mesin industri lain yang digunakan dalam proses pengeluaran kilang.

MPKS akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan melalui kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan aktiviti industri di Daerah Kuala Selangor dijalankan secara teratur, mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan kesejahteraan masyarakat. Pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan pembangunan yang lebih terkawal, selamat dan berpaksikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS