Color
Text

KEJAYAAN MPKS DI KONVENSYEN ICC/KIK MALAYSIA 2025

Tahniah diucapkan kepada Kumpulan Inotech JPM dan Kumpulan I-Smart yang mewakili Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Konvensyen ICC/KIK Malaysia 2025 yang berlangsung pada 25-26 November 2025 bertempat di Bangi Resort Hotel. Kedua-dua pasukan berjaya meraih penarafan 3 Bintang, sekali gus menonjolkan komitmen tinggi MPKS dalam memperkukuh budaya inovasi dan peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Kumpulan Inotech JPM membuktikan kemampuan luar biasa melalui inovasi Sharp Line 3.0, yang memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah terhadap kerja-kerja penyediaan garisan padang awam yang kurang efisien. Cabaran seperti permukaan padang yang tidak rata, kos operasi yang tinggi serta masa penyediaan yang panjang sebelum ini menyukarkan proses penandaan garisan. Melalui inovasi Sharp Line 3.0, proses penyediaan garisan menjadi lebih cepat, cekap, stabil dan menjimatkan kos, sekali gus meningkatkan mutu fasiliti padang awam MPKS.

Keunggulan inovasi tersebut membuahkan hasil apabila Kumpulan Inotech JPM diumumkan sebagai Johan Kategori Awam Negeri Terbaik dan turut memenangi Video Terbaik, mengangkat nama MPKS di peringkat kebangsaan. Selain itu, MPKS juga menerima Anugerah Khas Pembudayaan Inovasi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan memupuk kreativiti dan inovasi dalam organisasi.

Kumpulan I-Smart turut menunjukkan kecemerlangan inovatif melalui penghasilan Rak Pintar Digital, sebuah solusi yang menyelesaikan masalah pencarian fail di ruang penyimpanan yang sebelum ini kurang efisien. Dengan penggunaan kod QR, paparan digital dan pangkalan data berpusat, fail dapat dicari dengan lebih cepat, tepat dan teratur. Inovasi ini bukan sahaja memudahkan proses kerja harian, malah mengurangkan risiko kehilangan dokumen serta meningkatkan kecekapan operasi MPKS.

Tahniah dan syabas kepada semua peserta serta warga MPKS atas kejayaan membanggakan ini. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi yang membawa MPKS ke tahap kegemilangan yang lebih tinggi.

#KualaSelangor

#IndahdanBersejarah

#MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS