Color
Text

SAMBUTAN HARI INTEGRITI MPKS TAHUN 2025

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) terus memperkukuh budaya integriti melalui penganjuran Sambutan Hari Integriti Peringkat MPKS Tahun 2025 yang diadakan pada 27 November 2025 bertempat di Dewan Sri Siantan. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Unit Integriti, Unit Pembangunan Kompetensi dan Latihan serta Kelab Sukan Kebajikan dan Rekreasi MPKS sebagai usaha berterusan dalam memantapkan tadbir urus, meningkatkan kefahaman etika kerja serta membudayakan integriti dalam kalangan warga majlis.

Sambutan ini bersempena Hari Integriti Nasional yang diraikan bulan November setiap tahun. MPKS meneruskan agenda ini dengan tujuan menyebarluaskan mesej integriti, meningkatkan kesedaran berkaitan governans dan antirasuah serta memperkukuh nilai-nilai murni dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Pelbagai pengisian telah dilaksanakan antaranya Kuiz Teka Silang Kata Integriti, Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA), bacaan ikrar, doa serta persembahan integriti oleh Koir MPKS. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. TPr. Haji Mohamad Yusli bin Askandar, yang turut menyampaikan mesej tentang kepentingan integriti sebagai tunjang kecemerlangan perkhidmatan.

Turut diadakan penyampaian hadiah kepada lima pemenang Kuiz Integriti yang telah berlangsung dari 11 hingga 17 November 2025. Program ini juga menyokong pelaksanaan SDGs 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) dan SDGs 17 (Perkongsian untuk Matlamat), selaras dengan Pelan Strategik MPKS 2021–2025 dalam memperkukuh tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Sambutan ini membuktikan komitmen MPKS untuk terus memupuk budaya kerja yang berintegriti, amanah dan profesional demi mempertingkatkan keyakinan masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan Majlis.

#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS