Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

SEMINAR KESEDARAN KEPERLUAN TERHADAP ORANG KURANG UPAYA (OKU) DALAM REKA BENTUK SEJAGAT TAHUN 2025

Pada 9 Disember 2025, bertempat di Dewan Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam telah berlangsung Seminar Kesedaran Keperluan Terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Reka Bentuk Sejagat Tahun 2025. Program ini merupakan usaha bersama Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga, Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan KAED Universal Design Unit, Kulliyyah Seni Bina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Anfaal Binti Saari, Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Turut hadir bersama Yang Berhormat Tuan Danial Al-Rashid Bin Haron Aminar Rashid, Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) merangkap ADUN Batu Tiga; Yang Berusaha TPr. Haji Mohamad Yusli Bin Askandar, Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor; Yang Berbahagia Prof. Dato’ Sri Ar. Dr. Asiah Abdul Rahim, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; serta Ts. Faezah Binti Abd Aziz, Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MPKS.

Seminar ini turut melibatkan kehadiran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor, agensi teknikal luar serta para penyelidik dari institusi pengajian tinggi. Program ini memberi tumpuan kepada usaha menambah baik proses sedia ada di PBT melalui perkongsian amalan terbaik oleh pelbagai agensi, selain meningkatkan kesedaran dan empati penjawat awam terhadap cabaran yang dihadapi komuniti OKU dalam kehidupan seharian. Pendedahan ini diharapkan dapat memperkasakan perancangan serta pelaksanaan pembangunan yang lebih inklusif dan berlandaskan reka bentuk sejagat di seluruh negeri Selangor.

MPKS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi dan peserta yang terlibat. Semoga seminar ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memastikan pembangunan di Kuala Selangor khususnya, dan di seluruh negeri Selangor amnya, sentiasa mengutamakan prinsip inklusif, aksesibiliti dan persekitaran bebas halangan.

#MPKS #KualaSelangor #RekaBentukSejagat #Aksesibiliti #OKU #SelangorPrihatin #InklusifUntukSemua 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS