Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

KEJOHANAN SEPAK TAKRAW TERBUKA DAN TERTUTUP PIALA YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN KUALA SELANGOR 2025

Kejohanan Sepak Takraw Terbuka dan Tertutup Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor 2025 telah berlangsung pada 13 Disember 2025 (Sabtu) bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor dari jam 7.30 pagi hingga 9.30 malam. Program ini merupakan inisiatif MPKS dalam memperkasa pembangunan sukan tradisional serta menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam aktiviti sukan yang sihat, kompetitif dan berimpak tinggi.

Penganjuran kejohanan ini bertujuan mempromosikan sukan sepak takraw sebagai sukan tradisional berprestij di peringkat tempatan dan kebangsaan, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama berpasukan. Kejohanan ini turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti tempatan dan pasukan luar serta memperkukuh Kompleks Sukan Kuala Selangor sebagai hab penganjuran acara sukan berprestij.

Seramai kira-kira 400 orang peserta dan pengunjung telah hadir memeriahkan kejohanan ini dengan penyertaan melibatkan 33 regu bagi Kategori Terbuka dan 30 regu bagi Kategori Tertutup. Bagi Kategori Terbuka, kejohanan ini turut disertai pasukan dari Thailand serta beberapa negeri lain termasuk Kelantan, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor, sekali gus menjadikan kejohanan ini bertaraf terbuka dan berimpak tinggi dengan tahap permainan yang kompetitif serta berkualiti tinggi.

Majlis Perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua MPKS. Turut hadir ialah Encik Puspanath Thanabalan, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKS, Puan Nantha Kumari Singaram dan Puan Arutselvi Amalanathan selaku Ahli Majlis MPKS. Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh YBrs. TPr Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha MPKS. Penganjuran kejohanan ini sekali gus memperkukuh imej Majlis Perbandaran Kuala Selangor sebagai penganjur aktif acara sukan berprestij di peringkat tempatan dan serantau.

Bagi Kategori Terbuka, johan telah dimenangi oleh FZR A, naib johan FZR B, tempat ketiga FENHAS B dan tempat keempat NIJEPHOTO A, manakala kedudukan kelima hingga kelapan masing-masing dimenangi oleh LC WILDAN, FENHAS A, MBSA A dan FUDIN KERINCHI ZAPPP A. Sementara itu, bagi Kategori Tertutup, EMT B muncul sebagai johan diikuti EMT A sebagai naib johan, IBENAN D di tempat ketiga, N.I di tempat keempat, MPKS C di tempat kelima, MPKS D di tempat keenam, MPKS A di tempat ketujuh dan IBENAN C di tempat kelapan.

#KualaSelangor

#IndahdanBersejarah

#MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS