OPERASI MEMBANTERAS TEMPAT PEMBUANGAN SAMPAH HARAM DAERAH KUALA SELANGOR
OPERASI MEMBANTERAS TEMPAT PEMBUANGAN SAMPAH HARAM DAERAH KUALA SELANGOR
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa MPKS dan Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS telah melaksanakan Operasi Tempat Pembuangan Sampah Haram di Daerah Kuala Selangor pada 30 Januari 2026 bermula jam 8.30 pagi hingga 3.00 petang.
Operasi ini melibatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di dua lokasi tumpuan pembuangan sampah haram iaitu di Lot 2717, Batu 22, Ijok dan Lot 17670, Harmoni, Ijok. Seramai 25 orang anggota terlibat dalam operasi ini yang terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Penguatkuasa serta Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS.
Di lokasi pertama, Lot 2717, Batu 22, Ijok, pihak Jabatan Penguatkuasa MPKS telah mengambil tindakan sitaan ke atas sebuah jentera pengendalian sampah iaitu kenderaan Traktor Excavator Hitachi 07 di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007. Selain itu, satu kompaun telah dikeluarkan kerana tidak mematuhi notis yang dikeluarkan sebelum ini, satu kompaun tambahan di bawah undang-undang kecil yang sama serta satu Notis Menghendaki Kacauganggu Dihapuskan turut dikeluarkan. Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS pula telah menguruskan logistik lori loader bagi tujuan penyitaan jentera serta mengeluarkan satu kompaun berkaitan kesalahan pembuangan sampah haram.
Manakala di lokasi kedua, Lot 17670, Harmoni, Ijok, sebuah jentera excavator tidak dapat disita kerana berada dalam keadaan tidak berfungsi serta tiada jentera pengendalian sampah haram lain ditemui di lokasi berkenaan. Walau bagaimanapun, satu Notis Menghendaki Kacauganggu Dihapuskan telah dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS. Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS turut mengeluarkan satu kompaun serta membantu pengurusan operasi di lokasi tersebut.
Secara keseluruhan, operasi ini melibatkan pemantauan di dua lokasi, satu sitaan jentera, pengeluaran dua notis dan empat kompaun. Tindakan tegas ini diambil sebagai langkah berterusan MPKS dalam memastikan kebersihan persekitaran terpelihara serta membendung aktiviti pembuangan sampah haram yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.
MPKS menyeru semua pihak agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan bersama-sama memainkan peranan dalam melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan masing-masing demi kesejahteraan Daerah Kuala Selangor.
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS