AHLI MAJLIS MPKS PERKUKUH INTEGRITI, TOLAK RASUAH
Pada 6 Februari 2026, seramai 23 Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kuala Selangor bagi sesi 2026/2027 telah menyertai Program Antirasuah dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor yang berlangsung di De Palma Resort, Kuala Selangor.
Program ini bertujuan memperkasa nilai amanah, integriti dan tadbir urus berwibawa dalam kalangan Ahli Majlis MPKS serta menegaskan penolakan terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan diteruskan dengan ucapan oleh PPj Azuan bin Adzhar, Timbalan Pengarah (Pencegahan), SPRM Negeri Selangor. Turut hadir ialah YBrs. TPr Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha MPKS dan PPj Ku Hamidi bin Ku Halim, Ketua Cawangan SPRM Kuala Selangor.
Majlis seterusnya menyaksikan lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang dipimpin oleh YBrs. Tuan Haji Anwar bin Karison, Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan disaksikan oleh PPj Azuan bin Adzhar. Sesi ini diteruskan dengan sesi menandatangani Ikrar Bebas Rasuah sebagai simbol komitmen Ahli Majlis MPKS dalam membudayakan integriti.
Program diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan penyerahan cenderahati antirasuah oleh PPj Azuan bin Adzhar kepada YBrs. Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan komitmen berterusan MPKS dalam usaha memerangi rasuah.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

