Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

MAJLIS PECAH TANAH PROJEK SOLAR FOTOVOLTAIK (PV) BESTARI SELANGOR

Selangor melakar satu lagi sejarah dalam agenda tenaga mampan apabila memulakan pembinaan Projek Solar Fotovoltaik (PV) Bestari, yang bakal menjadi ladang solar terbesar di negeri ini. Projek di bawah Program Solar Skala Besar Kelima (LSS5) ini meliputi kawasan lebih 430 hektar dengan kapasiti penjanaan 300 megawatt (MWac).

Majlis pecah tanah projek ini telah dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin bin Shari. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Tuan Mohd Raiz bin Radzuan, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor (Official)

Dalam ucapannya, Dato’ Menteri Besar Selangor menegaskan projek ini amat signifikan bagi menyokong keperluan tenaga di Lembah Klang yang menjadi tumpuan utama sektor industri, kediaman serta pasaran kenderaan elektrik (EV). Projek ini juga selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR) serta menyokong Agenda Ekonomi Hijau Selangor.

Fasiliti berkapasiti terpasang 460 megawatt-peak (MWp) ini dijangka menjana purata 640,000 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik bersih setahun. Projek bernilai RM1 bilion ini telah ditandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada Mac 2025, dengan operasi dijadualkan bermula pada Julai 2027 bagi tempoh operasi selama 21 tahun.

Projek ini dibangunkan di atas tanah milik Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor oleh Bestari Solar Sdn Bhd, sebuah konsortium yang diterajui Edra Power Holdings Sdn Bhd, Worldwide Holdings Bhd dan Rotaka Engineering Services (M) Sdn Bhd.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh pembangunan tenaga boleh baharu, kelestarian alam sekitar serta pertumbuhan ekonomi hijau demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negeri.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS