OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DAERAH KUALA SELANGOR
Pada 11 Februari 2026 (Rabu), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di sekitar Kampung Bukit Kuching, Kampung Bukit Cherakah dan Kampung Bukit Hijau, Jeram bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang dengan penglibatan seramai 36 anggota pelbagai jabatan bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Selangor.
Sebanyak 10 premis telah diperiksa dan kesemuanya didapati beroperasi semasa pemeriksaan dijalankan. Secara keseluruhan, sebanyak 16 kompaun dan 8 notis telah dikeluarkan sepanjang operasi.
Daripada jumlah tersebut, MPKS telah mengeluarkan 13 kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007, melanggar syarat lesen kerana tidak menyediakan pekerja warga tempatan di bawah UUK 4(4)(c), serta kesalahan kekotoran premis di bawah UUK 21(1)(a), UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007.
Pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Selangor telah mengeluarkan 3 kompaun di bawah Kaedah 17A(2), Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 terhadap premis yang gagal mematuhi keperluan pendaftaran dan pemaparan maklumat perniagaan sebagaimana ditetapkan.
Selain pengeluaran kompaun, tiga premis telah diarahkan tutup serta-merta melalui Notis Memberhentikan Perniagaan dan Membuat Penutupan Premis, manakala tindakan sitaan turut dilaksanakan. Antara barangan utama yang disita termasuk peti sejuk chiller, tong gas, alat timbang elektronik, mesin parut, peti ais aiskrim dan air minuman.
MPKS akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan masyarakat.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

