OUTREACH PEMBASMIAN KEMISKINAN DAERAH KUALA SELANGOR
Program Outreach Pembasmian Kemiskinan Daerah Kuala Selangor telah berlangsung di Dewan MPKS Jeram pada 11.2.2026, dianjurkan oleh ICU JPM bersama kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Kerajaan Negeri Selangor. Program ini bertujuan hadir, mendengar dan bertindak untuk memastikan bantuan sampai kepada keluarga yang memerlukan dengan lebih tepat dan berkesan.
Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato Haji Mohd Khidir bin Majid, Pengarah Pembangunan Negeri Selangor. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Saifuddin bin Shafi Muhammad, Setiausaha Politik kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, YBrs. Tuan Mohd Raiz Bin Radzuan, Pegawai Daerah Kuala Selangor, YBrs. Tuan Hj Mohamad Hanafe Bin Basri, Yang Dipertua MPKS, dan YBrs. Tuan Mohd Maskor Tumiran, Wakil Ahli Parlimen Kuala Selangor, bersama Ketua-ketua jabatan dan agensi seperti LZS, PERKESO, JKM dan MPKS.
Program ini memberi fokus kepada keluarga miskin di daerah Kuala Selangor dengan 203 KIR miskin tegar dan 1,828 KIR miskin sehingga 10 Februari 2026. Setiap keluarga dipadankan dengan program yang sesuai mengikut keperluan mereka, kerana setiap cerita hidup adalah berbeza. Inisiatif Sejahtera MADANI Fasa 1 tahun 2026 menjadi panduan utama dengan fokus kepada peningkatan pendapatan, pendidikan, kebajikan dan perumahan.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sepanjang program termasuk kaunter bantuan dan nasihat oleh eKasih, JKM, PERKESO, LZS dan MPKS, Jualan Rahmah MADANI bersama KPDN, Jualan Produk Tempatan SejaTi MADANI, kursus kemahiran GIAT MARA bersama NADI di Jeram, serta Program Back To School 2026 dengan baucar RM200 untuk setiap ahli isi rumah miskin dan miskin tegar. Setiap aktiviti memastikan bantuan disampaikan secara tepat dan berkesan.
Penganjuran program ini membuktikan pembasmian kemiskinan memerlukan kerjasama, perancangan dan konsistensi semua pihak. MPKS mengucapkan terima kasih kepada semua agensi Persekutuan dan Negeri serta rakan strategik yang turun padang bersama, menekankan bahawa pendekatan whole-of-government bukan sekadar slogan tetapi tindakan nyata untuk masyarakat.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

