OPERASI PEMERIKSAAN BAZAR RAMADAN 2026 DI LOTUS KUALA SELANGOR
Kuala Selangor, 20 Februari 2026 – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Kesihatan dan Persekitaran telah melaksanakan Operasi Pemeriksaan di Bazar Ramadan Lotus Kuala Selangor dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) bagi memastikan tahap kebersihan dan pematuhan peraturan sentiasa berada dalam keadaan baik sepanjang bulan Ramadan.
Sebanyak 94 petak bazar telah diperiksa melibatkan 233 pengendali makanan. Kesemua pengendali telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan dan menerima Suntikan TY2 seperti yang ditetapkan, selaras dengan keperluan perundangan kesihatan awam.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS serta PKDKS. Walau bagaimanapun, satu kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS atas kesalahan tiada permit perniagaan.
Dalam masa yang sama, Bahagian Promosi Kesihatan turut mengedarkan notis peringatan kebersihan kepada para peniaga sebagai langkah pendidikan dan pencegahan. MPKS mengingatkan semua peniaga agar sentiasa menitikberatkan kebersihan diri, peralatan dan kawasan perniagaan serta mematuhi etika pengendalian makanan demi keselamatan pengguna.
MPKS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua peniaga Bazar Ramadan Hadapan Lotus Kuala Selangor yang telah memberikan kerjasama baik serta mematuhi keperluan Kursus Pengendalian Makanan dan Suntikan TY2. Komitmen ini mencerminkan tahap kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi dalam memastikan makanan yang dijual adalah bersih, selamat dan berkualiti.
MPKS akan terus komited menjalankan pemantauan berkala bersama PKDKS bagi memastikan persekitaran Bazar Ramadan sentiasa bersih, selamat dan teratur untuk kemudahan seluruh warga Kuala Selangor.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

