Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

LAPORAN OPERASI PEMERIKSAAN BAZAR RAMADAN 2026 MAJLIS PERBANDARAN KUALA SELANGOR

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan MPKS serta Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor telah melaksanakan siri Operasi Pemeriksaan Bazar Ramadan 2026 di beberapa lokasi sekitar daerah Kuala Selangor. Operasi ini menumpukan pemantauan terhadap tahap kebersihan, keselamatan makanan, pematuhan suntikan tifoid, kehadiran Kursus Pengendalian Makanan serta pematuhan permit perniagaan dalam kalangan peniaga bazar Ramadan.

Pada 28 Februari 2026, operasi telah dijalankan di Bazar Ramadan Saujana Utama melibatkan 167 petak dengan 288 orang pengendali makanan. Kesemua 288 pengendali telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan dan menerima suntikan TY2. Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS telah mengeluarkan tiga kompaun iaitu satu kompaun atas kesalahan kuku panjang dan dua kompaun kerana tidak memakai kasut bertutup. Tiada kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasaan MPKS dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor.

Seterusnya pada 2 Mac 2026, pemeriksaan di Bazar Ramadan Jalan Sejati 1, Ijok melibatkan 57 petak dan 108 pengendali makanan. Seramai 106 orang telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan dan 106 orang telah menerima suntikan TY2. Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS telah mengeluarkan dua kompaun atas kesalahan tiada suntikan tifoid. Jabatan Penguatkuasaan MPKS turut mengeluarkan 13 kompaun atas kesalahan tiada permit perniagaan, manakala tiada tindakan diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor.

Pada 3 Mac 2026, operasi diteruskan di Bazar Ramadan Jalan Hillpark 11/6, Bandar Hillpark melibatkan 40 petak dengan 62 pengendali makanan. Seramai 60 orang telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan dan 62 orang telah menerima suntikan TY2. Satu kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS atas kesalahan tidak memakai penutup kepala, manakala Jabatan Penguatkuasaan MPKS mengeluarkan tiga kompaun atas kesalahan tiada permit perniagaan. Tiada kompaun dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor.

Pada tarikh yang sama, pemeriksaan turut dijalankan di Bazar Ramadan Desa Coalfields melibatkan 40 petak dan 72 pengendali makanan. Seramai 57 orang telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan dan kesemua 72 orang telah menerima suntikan TY2. Tiada kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS. Walau bagaimanapun, Jabatan Penguatkuasaan MPKS telah mengambil tindakan menutup satu tapak perniagaan melibatkan warga asing. Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor juga tidak mengeluarkan sebarang kompaun di lokasi ini.

Secara keseluruhannya, siri operasi ini mencerminkan komitmen berterusan MPKS dalam memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan dan pematuhan peraturan sentiasa dipatuhi sepanjang bulan Ramadan. Tindakan penguatkuasaan yang diambil bertujuan mendidik serta memastikan peniaga sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan demi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna di daerah Kuala Selangor.

#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS