OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DI TAMAN INDUSTRI ALAM JAYA, BANDAR PUNCAK ALAM
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di sekitar Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam pada 11 Mac 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang.
Operasi ini melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dalaman MPKS iaitu Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran, Jabatan Kawalan Bangunan dan Jabatan Pelesenan serta agensi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Selangor. Seramai 43 anggota terlibat dalam operasi bersepadu ini bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 10 premis telah dipantau dengan 8 premis didapati beroperasi manakala 2 premis didapati tidak beroperasi semasa pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat premis yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah selain melakukan beberapa kesalahan lain yang melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, mempamerkan iklan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan, tahap kebersihan premis yang tidak memuaskan, pembuangan sampah secara tidak teratur serta halangan di tempat awam. Selain itu, terdapat juga premis yang didapati membuat perubahan terhadap struktur bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 24 kompaun telah dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, Undang-Undang Kecil Iklan (MDKS) 2007 serta Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (MDKS) 2007. Selain itu, sebanyak 11 notis turut dikeluarkan kepada pemilik premis dan tindakan sitaan peralatan perniagaan terhadap 7 premis turut dilaksanakan kerana premis beroperasi secara tidak sah.
MPKS akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan demi memastikan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, selamat dan bersih di daerah Kuala Selangor.
Orang ramai serta pengusaha premis perniagaan diseru agar memastikan setiap aktiviti perniagaan dijalankan dengan lesen yang sah serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

