Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DAERAH KUALA SELANGOR

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing pada 7 April 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang melibatkan kawasan Kuala Selangor, Sungai Buloh dan Jeram. Operasi ini turut disertai oleh pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Selangor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Selangor, dengan kekuatan keseluruhan seramai 56 anggota.

Sebanyak 13 premis telah diperiksa dalam operasi ini merangkumi premis cuci kenderaan, kedai runcit serta premis perkhidmatan lain. Hasil pemeriksaan mendapati 9 premis beroperasi manakala 4 premis tidak beroperasi ketika pemantauan dijalankan. Pelbagai tindakan penguatkuasaan telah diambil termasuk pengeluaran kompaun, notis memberhentikan perniagaan, penutupan premis serta sitaan peralatan perniagaan bagi kesalahan yang melanggar undang-undang dan peraturan sedia ada.

Antara kesalahan yang dikenakan kompaun adalah seperti menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK 3, langgar syarat lesen tidak menyediakan pekerja warga tempatan di bawah UUK 4(4)(c), mempamerkan iklan tanpa lesen di bawah UUK 7 serta gagal menurunkan iklan dalam keadaan buruk di bawah UUK 21(1)(a) Undang-Undang Kecil Iklan (MDKS) 2007. Selain itu, kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menjaga kebersihan premis di bawah UUK 17, menyebabkan atau membuang apa-apa benda ke dalam longkang di bawah UUK 21(1)(a), serta meninggalkan barang di belakang premis di bawah UUK 21(1)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007. Tindakan juga diambil di bawah Seksyen 46(1)(d) dan Seksyen 70(11), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) berkaitan halangan di tempat awam serta kesalahan struktur bangunan.

Dalam operasi ini, tindakan sitaan telah dilaksanakan melibatkan pelbagai peralatan perniagaan seperti mesin vakum, mesin water jet, tong snow wash, pam water jet, pemampat udara, pemampat udara sabun serta mesin jahit pakaian yang digunakan di premis terlibat.

Sepanjang operasi ini, sebanyak 28 kompaun telah dikeluarkan, 9 notis pelbagai kesalahan serta 3 tindakan sitaan dilaksanakan. Selain itu, seramai 15 orang pekerja warga asing telah ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

MPKS akan terus mempergiatkan operasi bersepadu secara berkala bagi memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan peniaga serta menjaga kesejahteraan komuniti setempat. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar bagi memastikan persekitaran perniagaan yang teratur, bersih dan selamat di daerah Kuala Selangor.

#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS