OPERASI PENGGELEDAHAN TANPA WARAN OLEH UNIT PESURUHJAYA BANGUNAN (COB) MPKS DI SKIM STRATA PUNCAK ALAM
Unit Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melibatkan seramai 8 pegawai telah menjalankan pemeriksaan/penggeledahan tanpa waran di bawah Seksyen 127, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) di sebuah skim strata di Puncak Alam.
Operasi dijalankan pada 12 Mei 2026 bermula jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari bagi tujuan mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan pengurusan serta pentadbiran skim strata untuk siasatan lanjut di bawah subseksyen 125(2), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757). Sepanjang operasi dijalankan, beberapa dokumen turut dirampas bagi membantu siasatan oleh pihak Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPKS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Susulan peletakan jawatan semua ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB), Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) akan melantik ejen pengurusan selaras dengan peruntukan Seksyen 86, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memastikan urusan pengurusan dan penyelenggaraan skim strata dapat diteruskan dengan teratur sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) seterusnya dilaksanakan dan Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) baharu ditubuhkan.
Unit Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sentiasa komited dalam memastikan setiap pengurusan strata mematuhi peruntukan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan komuniti strata.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah #COBMPKS #PuncakAlam #Akta757 #PengurusanStrata
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

