KURSUS KESELAMATAN DAN KECEMASAN DI AIR SANTUARI KELIP-KELIP KAMPUNG KUANTAN 2026
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan Kursus Keselamatan dan Kecemasan di Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan pada 16 Mei 2026 (Sabtu) bermula jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang Kursus ini diadakan untuk memperkukuhkan aspek keselamatan dan kesiapsiagaan dalam kalangan pendayung serta petugas pelancongan di kawasan ini.
MPKS sebagai antara pihak berkuasa tempatan yang aktif mempromosikan produk eko-pelancongan tempatan sentiasa komited memastikan setiap aktiviti pelancongan dijalankan dalam keadaan selamat, teratur dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Sehubungan itu, kursus ini dianjurkan sebagai platform memberi kefahaman dan latihan asas berkaitan keselamatan serta pengurusan kecemasan di air khususnya kepada pengendali perkhidmatan sampan di Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan yang merupakan antara lokasi pelancongan utama di Daerah Kuala Selangor.
Program ini telah disertai seramai 50 orang peserta terdiri daripada pendayung, rakan pelancongan dan Skuad PANTAS MPKS. Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan teknik penyelamatan air, penggunaan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan serta tindakan bantuan awal sementara menunggu ketibaan pasukan kecemasan di lokasi kejadian.
Selain itu, kursus ini turut bertujuan memastikan setiap petugas memahami dan mematuhi SOP pelancongan air ketika berlakunya kecemasan, di samping meningkatkan tahap kecekapan dan kemahiran petugas dalam mengendalikan situasi kecemasan secara lebih cekap dan tersusun.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan MPKS dalam memastikan industri pelancongan di Kuala Selangor terus berkembang secara positif, selamat dan diyakini pengunjung sekali gus memperkukuhkan imej Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan sebagai destinasi eko-pelancongan yang selamat dan berkualiti.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah #VisitSelangor2026 #CutiSekolah2026
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

