Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI BERSEPADU LADANG TERNAKAN AYAM TANPA KEBENARAN

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Ladang Ternakan Ayam Tanpa Kebenaran pada 3 Jun 2026 (Rabu), bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di Lot 1514, Jalan Batu Bata Off Jalan Raja Abdullah, 45800 Jeram, Selangor.

Operasi yang melibatkan seramai 46 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi ini dilaksanakan susulan kegagalan pihak premis mematuhi tempoh yang telah ditetapkan bagi menghentikan aktiviti ternakan serta mengosongkan kawasan ladang.

Hasil pemeriksaan mendapati pihak syarikat telahpun mengeluarkan dan mengosongkan ternakan ayam dari premis berkenaan. Sebanyak lima (5) blok ladang ternakan ayam telah dibersihkan manakala tiga (3) blok lagi masih dalam proses pembersihan.

Dalam operasi ini, beberapa tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh MPKS dan agensi terlibat, antaranya pengeluaran kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, penutupan premis, sitaan 11 unit pam air dan sebuah forklift, pengeluaran kompaun berkaitan kebersihan premis, pengeluaran kompaun atas kesalahan melepaskan sisa kumbahan ke dalam anak sungai, semakan pemilikan meter serta pemotongan bekalan air dan elektrik, serta tindakan susulan oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Operasi ini turut melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Jabatan Perancangan Pembangunan MPKS, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

MPKS ingin menegaskan bahawa sebarang aktiviti perniagaan, perindustrian atau penternakan yang dijalankan tanpa kelulusan dan kebenaran yang sah adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan. MPKS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang, syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan.

MPKS akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kesejahteraan penduduk dan kelestarian alam sekitar di kawasan pentadbiran MPKS.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS