Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

TIGA PREMIS BARANGAN KITAR SEMULA DIARAH TUTUP DALAM OPERASI BERSEPADU MPKS

Operasi Bersepadu Premis Barangan Kitar Semula Daerah Kuala Selangor telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa pada 11 Jun 2026 di sekitar Batu 22 dan Batu 23 Ijok, Jalan Kepong – Kuala Selangor. Operasi yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang dan syarat pelesenan perniagaan di samping memelihara kebersihan, keselamatan serta kelestarian alam sekitar di daerah Kuala Selangor.

Operasi bersepadu ini melibatkan seramai 32 anggota dan pegawai daripada Jabatan Penguatkuasa MPKS, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Jabatan Perancangan Pembangunan MPKS, Unit Korporat MPKS, IPD Sungai Buloh, Balai Polis Saujana Utama serta Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kerjasama strategik antara agensi yang terlibat telah memastikan operasi berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak tiga premis barangan kitar semula telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesalahan melibatkan operasi perniagaan tanpa lesen, pembakaran terbuka, kebersihan kawasan premis yang tidak memuaskan serta pengurusan buangan elektrik dan elektronik yang tidak mematuhi peraturan semasa. Tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk pengeluaran kompaun, notis arahan, notis memberhentikan perniagaan, penutupan premis serta tindakan sitaan terhadap beberapa peralatan dan jentera yang digunakan di premis berkenaan.

Secara keseluruhannya, tiga premis telah diperiksa dengan dua premis didapati beroperasi dan satu premis tidak beroperasi semasa pemeriksaan dijalankan. Sebanyak tiga premis telah diarahkan tutup, empat kompaun telah dikeluarkan, lapan notis telah diserahkan kepada pemilik premis dan dua tindakan sitaan telah dilaksanakan. Jabatan Alam Sekitar turut mengambil tindakan berkaitan pengurusan buangan elektrik dan elektronik serta larangan pembakaran terbuka, manakala pihak Polis Diraja Malaysia telah membantu dari aspek kawalan keselamatan sepanjang operasi berlangsung.

MPKS akan terus memperkukuhkan usaha penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan di daerah Kuala Selangor mematuhi syarat pelesenan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Tindakan ini selaras dengan komitmen MPKS dalam mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat, teratur dan mampan demi kesejahteraan seluruh warga Kuala Selangor.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS