PERSIDANGAN STRATA 2026: KE ARAH PENGURUSAN STRATA KELAS PERTAMA
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama yang berlangsung pada 11 Jun 2026 di Shah Alam, Selangor sebagai platform strategik yang menghimpunkan penggubal dasar, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengamal industri, pemaju hartanah, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan, ejen pengurusan serta badan profesional berkaitan bagi membincangkan isu-isu semasa, cabaran dan hala tuju pengurusan strata di Malaysia.
Persidangan ini menampilkan pelbagai sesi pembentangan dan forum yang memberi tumpuan kepada aspek pengurusan operasi strata, penyerahan hak milik strata, penyelenggaraan aset bangunan serta isu perundangan yang berkaitan dengan pembangunan dan pengurusan hartanah berstrata. Program ini turut menjadi medium perkongsian amalan terbaik dan penyelesaian komprehensif ke arah memperkukuh tadbir urus strata yang lebih cekap, telus dan mampan.
Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh TPr. Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha MPKS merangkap Timbalan Pesuruhjaya Bangunan 1 (COB) MPKS. Persidangan ini seterusnya telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Penganjuran persidangan ini membuktikan komitmen berterusan MPKS dalam memperkasakan pengurusan strata melalui pendekatan berasaskan ilmu, inovasi dan kolaborasi strategik demi mewujudkan komuniti yang lebih sejahtera serta pembangunan komuniti yang mampan.
#MPKS #IndahdanBersejarah #KualaSelangor
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

