Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

TIGA PREMIS BARANGAN KITAR SEMULA DIARAH TUTUP DALAM OPERASI BERSEPADU MPKS

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Premis Barangan Kitar Semula Daerah Kuala Selangor pada 18 Jun 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang di sekitar Kampung Seri Sentosa, Ijok dan Jalan Kepong–Kuala Selangor. Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Unit Korporat MPKS, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor.

Seramai 27 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi bersepadu ini yang bertujuan memastikan premis-premis barangan kitar semula mematuhi syarat pelesenan, kebersihan persekitaran, kawalan bangunan serta peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Hasil pemeriksaan mendapati tiga premis yang beroperasi telah melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah. Sehubungan itu, ketiga-tiga premis telah diarahkan menghentikan operasi serta-merta dan ditutup oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS.

Dalam operasi tersebut, sebanyak tiga kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007. Selain itu, tiga Notis Memberhentikan Perniagaan turut dikeluarkan bagi tujuan penutupan premis.

Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS turut mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan satu kompaun di bawah Seksyen 85(3), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta dua Notis Arahan Memindahkan Halangan di bawah Seksyen 46(3), Akta yang sama kerana gagal memastikan premis berada dalam keadaan bersih dan teratur.

Sementara itu, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS telah mengeluarkan dua Notis Pemberitahuan dan Tawaran Kompaun di bawah Seksyen 70(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) melibatkan struktur binaan tanpa kelulusan yang sewajarnya.

SSM Negeri Selangor turut mengeluarkan tiga kompaun di bawah Seksyen 30(1)(b), Akta Syarikat 2016 melibatkan syarikat yang gagal mematuhi keperluan perundangan berkaitan. Pada masa yang sama, PDT Kuala Selangor telah menjalankan semakan status lot tanah serta membantu melancarkan pelaksanaan operasi di lapangan.

Secara keseluruhannya, operasi ini melibatkan pemeriksaan ke atas tiga premis yang didapati sedang beroperasi. Sebanyak tiga premis telah ditutup, sembilan kompaun dan tujuh notis telah dikeluarkan, manakala tiada sitaan direkodkan sepanjang operasi dijalankan.

MPKS akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi peraturan yang ditetapkan serta menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kebersihan persekitaran di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS