Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

MPKS SITA DUA JENTERA DALAM OPERASI PENGUATKUASAAN TAPAK PEMBUANGAN SAMPAH HARAM DI IJOK

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Tempat Pembuangan Sampah Haram pada 24 Jun 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 2.30 petang di Jalan Harmoni 1, Simpang 3, Ijok.

Operasi yang melibatkan seramai tujuh anggota penguat kuasa ini dilaksanakan bagi membanteras aktiviti pembuangan sampah secara haram yang boleh menjejaskan kebersihan persekitaran, kesihatan awam serta mencemarkan imej kawasan pentadbiran MPKS.

Hasil pemeriksaan dan pemantauan di lokasi mendapati terdapat aktiviti pengendalian sampah haram yang melibatkan penggunaan jentera berat. Susulan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan menyita dua buah jentera yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti tersebut, iaitu sebuah jentera jengkaut (excavator) serta sebuah jentera traktor jentolak. Secara keseluruhannya, operasi ini melibatkan pemeriksaan di satu lokasi dan berjaya merekodkan dua sitaan, manakala tiada kompaun atau notis dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan.

MPKS memandang serius sebarang aktiviti pembuangan sampah haram dan akan terus mempertingkatkan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa. Orang ramai juga diseru untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pembuangan sampah haram bagi memastikan persekitaran Kuala Selangor sentiasa bersih, selamat dan lestari.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS