Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

MPKS TUTUP DUA KILANG MEMPROSES BARANGAN KITAR SEMULA PLASTIK TANPA KEBENARAN DI JERAM

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Kilang Memproses Barangan Kitar Semula Plastik Tanpa Kebenaran pada 25 Jun 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang di sekitar Jeram, Kuala Selangor. Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pengurusan Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Selangor.

Operasi yang melibatkan seramai 26 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi ini bertujuan membanteras aktiviti kilang memproses barangan kitar semula plastik yang beroperasi tanpa kebenaran, di samping memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan, peraturan bangunan serta perundangan yang berkuat kuasa.

Hasil pemeriksaan mendapati dua premis beroperasi tanpa lesen yang sah. Susulan itu, kedua-dua premis telah dikompaun, diarahkan menghentikan operasi serta ditutup oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS. Turut disita ialah pelbagai peralatan dan jentera yang digunakan bagi menjalankan operasi kilang, antaranya forklift, mesin penimbang digital, mesin jahit guni elektrik, pam air, tong gas oksigen, set kimpalan dan manual jack.

Jabatan Kawalan Bangunan MPKS turut mengeluarkan dua Notis Pemberitahuan dan Tawaran Kompaun di bawah Seksyen 70(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan berkaitan kawalan bangunan. Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pula telah menjalankan semakan status lot tanah serta membantu kelancaran operasi di lapangan.

Dalam operasi sama, Pengurusan Air Selangor telah melaksanakan tindakan berkaitan semakan serta pemotongan dan rampasan meter air, manakala TNB Kuala Selangor menjalankan semakan pemilikan meter elektrik dan mengeluarkan notis pemotongan meter selepas menerima permohonan daripada MPKS.

Secara keseluruhannya, operasi ini melibatkan pemeriksaan ke atas dua lokasi dengan kedua-dua premis didapati sedang beroperasi. Sebanyak dua premis telah ditutup, dua sitaan direkodkan, empat kompaun serta empat notis telah dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan.

MPKS akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang menyalahi undang-undang serta memberi kesan terhadap keselamatan, alam sekitar dan kesejahteraan penduduk. MPKS turut menyeru semua pengusaha supaya mematuhi syarat pelesenan dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS