OPERASI BERSEPADU PREMIS BARANGAN KITAR SEMULA DAERAH KUALA SELANGOR
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Premis Barangan Kitar Semula pada 2 Julai 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di sekitar Ijok, Kuala Selangor. Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Balai Polis Bestari Jaya, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor serta Jabatan Alam Sekitar (JAS), melibatkan kekuatan seramai 42 anggota.
Sebanyak tiga premis memproses barangan kitar semula telah diperiksa dalam operasi ini dan kesemuanya didapati beroperasi. Hasil pemeriksaan mendapati dua premis memiliki lesen perniagaan MPKS yang sah, manakala sebuah premis didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk pengeluaran kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, gagal membersihkan bangunan supaya berada dalam keadaan baik di bawah Seksyen 85(3), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), serta meletakkan longgokan guni beg plastik di tempat awam di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Selain itu, notis turut dikeluarkan bagi mengarahkan pemberhentian operasi premis tanpa lesen, menghapuskan kacau ganggu di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), memindahkan halangan serta Notis Pemberitahuan dan Tawaran Kompaun di bawah Seksyen 70(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan membina bangunan tanpa kelulusan bertulis pihak majlis.
Dalam operasi ini, tindakan sitaan telah dilaksanakan terhadap pelbagai peralatan yang digunakan di premis tidak berlesen, melibatkan sebuah kipas, sebuah penimbang berat digital, sebuah tukul dan sebuah troli.
Selain itu, pihak Polis Diraja Malaysia telah menahan seorang pekerja warga Bangladesh untuk siasatan lanjut, di samping membantu mengawal keselamatan sepanjang operasi berlangsung.
Secara keseluruhannya, operasi ini melibatkan pemeriksaan ke atas tiga premis dengan satu premis diarahkan tutup kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen. Sebanyak lima kompaun, empat notis serta satu tindakan sitaan telah dilaksanakan.
MPKS akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi syarat pelesenan, peraturan kebersihan, keselamatan serta undang-undang yang berkuat kuasa. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan demi menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kelestarian persekitaran di daerah Kuala Selangor.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

