PROGRAM SAHSIAH REMAJA "SAHSIAH UNGGUL, REMAJA BEBAS JENAYAH" TAHUN 2026
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan Program Sahsiah Remaja "Sahsiah Unggul, Remaja Bebas Jenayah" pada 16 Julai 2026 bertempat di Dewan MPKS, Saujana Utama dengan penyertaan seramai 130 orang murid dan guru pengiring daripada sekolah-sekolah sekitar Kuala Selangor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh TPr. Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Turut hadir Ahli-Ahli Majlis MPKS serta Ketua-Ketua Jabatan MPKS.
Program ini bertujuan membentuk sahsiah, jati diri dan integriti remaja serta meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, pencegahan jenayah, keselamatan siber dan ancaman penipuan dalam talian.
Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti dua slot ceramah yang disampaikan oleh Encik Ahmad Zulfahmi bin Ahmad Zamri daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Selangor dan DSP Mohd Khairulrizal bin Rosley daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kedua-dua penceramah berkongsi pengetahuan serta pengalaman berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah, langkah-langkah pencegahan jenayah, keselamatan siber dan penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja.
MPKS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesudian menjayakan program ini sebagai rakan strategik dalam usaha melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia, berintegriti, berdisiplin dan bebas daripada gejala sosial.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah #SahsiahUnggul #RemajaBebasJenayah #AADK #PDRM #BeliaMPKS #MalaysiaMADANI #SDG3 #SDG4 #SDG16 #SDG17
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

