KUNJUNG HORMAT GAMUDA TECHNOLOGIES KE MPKS PERKUKUH KERJASAMA PEMBANGUNAN MyPlanCheck@MPKS
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menerima kunjungan hormat daripada Gamuda Technologies yang diketuai oleh TPr. Ts. Md. Farabi Yussoff bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan sistem AI Model Checker Pelan Bangunan, MyPlanCheck@MPKS.
Sesi kunjung hormat telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua MPKS, dan turut dihadiri oleh Ar. Mohammad Zaid bin Saad, Pengarah Bahagian Perunding Kawalan Pemajuan, Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Ts. Faezah binti Abd. Aziz, Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MPKS; barisan pengarah dan pegawai MPKS, wakil Bahagian Perunding Kawalan Pemajuan serta pasukan penyelidikan Gamuda Technologies.
MyPlanCheck@MPKS merupakan sistem semakan pelan bangunan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang dibangunkan secara kolaboratif bagi mempercepat, mempertingkat ketepatan serta memastikan semakan pelan dilaksanakan secara lebih konsisten dan berkualiti. Inisiatif ini turut menyokong agenda Reformasi Pembangunan dan Ease of Doing Business (EODB) melalui pendigitalan proses semakan serta kelulusan pelan bangunan yang lebih cekap, telus dan mesra pelanggan.
Melalui pembangunan Fasa 2 dan Fasa 3, sistem ini dijangka memberi manfaat kepada pegawai teknikal PBT serta pemain industri seperti arkitek, jurutera, pelukis pelan dan perunding dalam menyediakan pelan bangunan yang lebih lengkap dan mematuhi keperluan teknikal.
Kerjasama strategik antara MPKS dan Gamuda Technologies dijangka menjadi pemangkin transformasi digital sektor pembinaan melalui pelaksanaan MyPlanCheck@MPKS, sekali gus menjadi penanda aras baharu bagi sistem semakan pelan bangunan berasaskan kecerdasan buatan di peringkat pihak berkuasa tempatan. Orang ramai, pemain industri dan pihak perunding yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Jabatan Kawalan Bangunan MPKS.
MPKS komited untuk terus memperkukuh transformasi digital perkhidmatan awam ke arah penyampaian yang lebih inovatif, efisien dan berimpak kepada masyarakat serta industri.
"Plan Smart. Review Fast. Build Faster."
#MPKS #KualaSelangor #IndahDanBersejarah #MyPlanCheckMPKS #TransformasiDigital #ArtificialIntelligence #EaseOfDoingBusiness
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

