COB MPKS LAKSANA OPERASI PENGGELEDAHAN DAN RAMPASAN DOKUMEN DI SKIM STRATA SAUJANA UTAMA
Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersama Bahagian Polis Diraja Malaysia Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan operasi pemeriksaan dan penggeledahan tanpa waran berdasarkan seksyen 127 Akta Pengurusan Strata yang melibatkan tujuh orang pegawai di sebuah skim strata di Saujana Utama pada 18 Ogos 2026.
Operasi yang bermula pada jam 10.00 pagi di Pejabat Pengurusan skim berkenaan dilaksanakan bagi mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan pengurusan, pentadbiran serta kewangan skim untuk tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 125, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757). Pemeriksaan dan penggeledahan tanpa waran tersebut dilaksanakan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 127 Akta yang sama.
Hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur disyaki penyelewengan dana penyelenggaraan yang dianggarkan berjumlah RM178,000. Susulan itu, beberapa dokumen berkaitan pengurusan dan kewangan telah dirampas bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam aspek tadbir urus, semakan mendapati daripada sembilan (9) Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan (MC) yang dilantik pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-10, empat (4) Jawatankuasa Pengurusan tidak lagi layak di bawah Perenggan 2, Jadual Kedua, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), manakala tiga (3) orang Jawatankuasa Pengurusan telah meletakkan jawatan. Baki dua orang Jawatankuasa Pengurusan tidak memenuhi syarat minimum tiga (3) orang untuk membentuk jawatankuasa.
Sehubungan itu, COB MPKS telah melantik ejen pengurusan di bawah Seksyen 86, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memastikan urusan pentadbiran, pengurusan dan penyelenggaraan skim strata berkenaan dapat diteruskan dengan teratur sehingga AGM seterusnya diadakan dan Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan (MC) yang baharu dibentuk.
Pihak COB masih menjalankan siasatan berdasarkan peruntukkan Seksyen 125 dan peruntukkan berkaitan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat unsur-unsur kesalahan/jenayah diluar akta yang diperuntukkan kepada pihak COB MPKS, siasatan/maklumat ini akan disalurkan kepada pihak berkaitan khususnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan susulan.
MPKS melalui Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) komited memastikan pengurusan skim strata dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi peruntukan undang-undang demi melindungi kepentingan serta kesejahteraan komuniti strata.
#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

