Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI PASAR MALAM TAMAN INDUSTRI ALAM JAYA, BANDAR PUNCAK ALAM

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa bersama Jabatan Kesihatan dan Persekitaran, Jabatan Pelesenan serta Jabatan Pembangunan Masyarakat telah melaksanakan Operasi Pasar Malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam pada 28 Ogos 2026, bermula jam 4.00 petang hingga 12.00 tengah malam.

Operasi bersepadu yang melibatkan seramai 52 anggota ini dilaksanakan susulan aduan awam dan hasil pemantauan anggota berhubung kewujudan peniaga yang menggajikan pekerja warga asing serta warga asing yang menjalankan perniagaan di kawasan tapak pasar malam. Hasil operasi, sebanyak 29 pemeriksaan telah dijalankan dan 7 peniaga warga asing telah dikesan menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

Hasil tindakan penguatkuasaan, sebanyak 18 kompaun telah dikeluarkan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK Penjaja (MDKS) 2007, manakala 15 kompaun dikeluarkan kerana tidak mematuhi notis di bawah Seksyen 109, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Selain itu, sebanyak 3 kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menyelenggara kawasan perniagaan supaya sentiasa dalam keadaan baik dan bersih.

Sebanyak 17 notis arahan memberhentikan perniagaan turut dikeluarkan, manakala 7 tindakan sitaan dilaksanakan melibatkan pelbagai barangan dan peralatan perniagaan. Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS turut menjalankan pemeriksaan serta penyitaan terhadap 2 peniaga ayam dan itik hidup yang melibatkan 44 ekor ayam dan 11 ekor itik.

MPKS sentiasa komited memastikan semua aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbiran MPKS dijalankan secara sah, teratur, bersih serta mematuhi syarat lesen dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Peniaga diingatkan agar mendapatkan lesen yang sah sebelum menjalankan perniagaan serta mematuhi semua syarat dan peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan aktiviti perniagaan di pasar malam sentiasa terkawal, bersih dan selamat demi kesejahteraan komuniti setempat.

#MPKS #KualaSelangor #IndahDanBersejarah #PenguatkuasaanMPKS #OperasiBersepadu #BandarPuncakAlam #TamanIndustriAlamJaya 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS