PROGRAM MENYANTUNI KOMUNITI STRATA TAHUN 2026
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan Program Menyantuni Komuniti Strata Tahun 2026 pada 19 September 2026 (Sabtu) bertempat di Eco Grandeur Hall, Puncak Alam. Program ini bertujuan merapatkan hubungan dan memperkukuh komunikasi antara MPKS dengan komuniti strata di daerah Kuala Selangor, khususnya pemilik petak, JMB, MC dan ejen pengurusan.
Program telah dirasmikan oleh YB Datuk Borhan bin Aman Shah, EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor. Turut hadir YBrs. Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua MPKS; YBrs. TPr. Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha MPKS; serta Sr. Muhammad Zul Fiqah bin Omar, Ketua Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) merangkap Timbalan Pesuruhjaya Bangunan 2 MPKS.
Antara pengisian program ialah Forum “Kepimpinan PBT dalam Era Baharu Tadbir Urus Komuniti” yang menampilkan TPr. Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha/Timbalan Pesuruhjaya Bangunan 1 MPKS serta Puan Salinda binti Jamil, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPKS sebagai panel forum.
Turut diadakan pembentangan berkaitan “Tanggungjawab Jawatankuasa JMB/MC, Elak Pelanggaran Akta Pengurusan Strata 2013 dan Liabiliti Peribadi” yang disampaikan oleh Puan Saraswathy Shirke, Peguam Bela dan Peguam Cara Tetuan Sara Deo & Co.
Selain itu, Forum 2 bertajuk “Peranan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam Memperkasa Pengurusan Komuniti Strata” turut diadakan dengan menampilkan Tuan Mohd Syaifulrizal bin Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pengurusan Strata, Jabatan Perumahan Negara, KPKT dan Dr. Nor Hanizan bin Sahib, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Operasi, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor sebagai panel.
Program ini menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan pengurusan komuniti strata, di samping memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, badan pengurusan serta komuniti strata ke arah pengurusan kediaman yang lebih teratur, telus dan harmoni.
#IndahdanBersejarah #KomunitiStrata #MenyantuniKomuniti
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

