Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DAERAH KUALA SELANGOR

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing pada 17 September 2026 (Khamis), bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di sekitar Celedonia dan Taman Ijok Jaya, Ijok. Operasi yang melibatkan kekuatan seramai 32 anggota ini dilaksanakan hasil daripada aduan awam serta pemantauan di lapangan yang mendapati terdapat premis yang tidak mempunyai lesen perniagaan MPKS yang sah dan premis yang dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.

Sebanyak 10 premis telah diperiksa melibatkan kedai runcit, kedai makan, pasar raya, kedai gunting rambut dan pusat cuci kenderaan. Hasil pemeriksaan, pelbagai tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap premis yang didapati melanggar syarat lesen serta menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Antara kesalahan yang dikenakan kompaun adalah melanggar syarat lesen kerana tidak menyediakan pekerja warga tempatan di bawah UUK 4(4)(c), UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 serta UUK 4(😎, UUK Pusat Kecantikan & Penjagaan Kesihatan (MDKS) 2013. Tindakan turut diambil terhadap premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK 3, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, termasuk kesalahan menternak ayam hidup yang tidak dibenarkan di bawah syarat lesen.

Selain itu, kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan mempamerkan iklan kain rentang tanpa lesen di bawah UUK 7, UUK Iklan (MDKS) 2007, tidak menjaga premis supaya baik dan bersih setiap masa di bawah UUK 17, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, serta tidak memakai apron atau penutup kepala semasa penyediaan makanan di bawah UUK 8(5), UUK Pengendali Makanan (MDKS) 2007. Dua kompaun turut dikeluarkan kerana meletakkan barang perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). SSM Negeri Selangor turut mengeluarkan satu kompaun di bawah Kaedah 17A(2), KKPP 1957.

Tindakan sitaan turut dilaksanakan di dua premis melibatkan peralatan perniagaan. Di sebuah kedai runcit, barangan yang disita terdiri daripada dua peti beku, tiga tong gas, enam dapur gas tungku, dua kipas duduk, empat periuk nasi elektrik dan satu penimbang digital. Manakala di sebuah pusat cuci kenderaan, sitaan melibatkan satu mesin bancuh buih, satu compressor, satu water jet dan satu vacuum.

Sebanyak sembilan premis telah dikenakan tindakan penutupan melalui Notis Amaran atau Notis Memberhentikan Perniagaan susulan kesalahan yang dikesan. Secara keseluruhannya, operasi ini merekodkan 20 kompaun, dua tindakan sitaan, sembilan notis dan sembilan penutupan premis daripada 10 premis yang diperiksa.

MPKS akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi syarat lesen, peraturan kebersihan serta undang-undang yang berkuat kuasa. Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap mana-mana premis yang didapati melanggar peraturan bagi memastikan aktiviti perniagaan di daerah Kuala Selangor dijalankan secara teratur, sah dan mematuhi ketetapan pihak berkuasa.

#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS