PROGRAM PECUTAN SPM “SKOR A” TAHUN 2026
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor telah melaksanakan Program Pecutan SPM “SKOR A” Tahun 2026 pada 14, 15 dan 17 September 2026 bertempat di Dewan Ixora Hill Park, Puncak Alam.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ahmad Jamzuri bin Mujaini, PPC., Timbalan Setiausaha MPKS. Turut hadir Encik Puspanath a/l Thanabalan, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKS dan Puan Sarimah binti Abdul Rahim, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, PPD Kuala Selangor.
Program ini dilaksanakan bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik calon SPM melalui bimbingan intensif, pengukuhan topik serta pendedahan kepada teknik menjawab soalan berdasarkan format dan skema pemarkahan SPM.
Seramai 450 orang murid dan 150 orang guru pengiring daripada sekolah-sekolah sekitar daerah Kuala Selangor telah terlibat dalam program ini. Sesi pembelajaran dikendalikan oleh guru-guru berpengalaman dengan memberi fokus kepada teknik menjawab, analisis soalan, strategi memperoleh markah serta kesilapan lazim yang perlu dielakkan oleh calon.
Sepanjang pelaksanaan program, sesi pembelajaran melibatkan mata pelajaran Sains dan Sejarah pada 14 September, Sejarah dan Matematik pada 15 September serta Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral pada 17 September 2026.
Program ini diharapkan dapat meningkatkan penguasaan, keyakinan dan persediaan murid dalam menghadapi peperiksaan SPM Tahun 2026, seterusnya menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik murid di daerah Kuala Selangor.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah #SPM2026
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

