Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

KUNJUNGAN HORMAT MAJLIS PERBANDARAN HULU SELANGOR KE MPKS

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menerima kunjungan delegasi Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi Lawatan Perkongsian Ilmu dan Amalan Terbaik Pelaksanaan Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) di Bilik Mesyuarat Malawati, Ibu Pejabat MPKS pada 12 Oktober 2026.

Delegasi MPHS yang diketuai oleh Puan Sarah binti Bakar dari Jabatan Kawalan Bangunan MPHS telah disambut oleh Yang Dipertua MPKS, YBrs. Tuan Mohamad Hanafe bin Basri, bersama Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Ts. Faezah binti Abd Aziz, selaku Penyelaras Pasukan Audit Aksesibiliti MPKS.

Turut hadir ialah ahli-ahli Pasukan Audit Aksesibiliti MPKS yang terdiri daripada wakil Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Landskap, Jabatan Perancangan dan Pembangunan serta Unit Pusat Setempat (OSC). Penglibatan pelbagai jabatan ini mencerminkan pendekatan kerjasama bersepadu MPKS dalam memperkukuh pelaksanaan Reka Bentuk Sejagat di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Lawatan ini memberi tumpuan kepada perkongsian amalan terbaik MPKS dalam memperkasakan pelaksanaan Reka Bentuk Sejagat, merangkumi penubuhan dan pengoperasian Pasukan Audit Aksesibiliti, pelaksanaan audit aksesibiliti kemudahan awam, penyediaan senarai semak teknikal serta pendekatan pemantauan pematuhan elemen aksesibiliti dalam pembangunan persekitaran bandar.

Delegasi turut diberikan pendedahan mengenai mekanisme pelaksanaan, proses kerja serta penyelarasan antara jabatan dalam mengenal pasti halangan aksesibiliti dan merangka cadangan penambahbaikan bagi memastikan kemudahan awam lebih inklusif, selamat dan mesra pengguna, khususnya kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak serta masyarakat secara keseluruhannya.

Sesi perkongsian ini turut mengetengahkan komitmen MPKS dalam menyokong aspirasi pembangunan Bandar Pintar (Smart City) Tahap 2 melalui penerapan prinsip Reka Bentuk Sejagat sebagai salah satu pendekatan ke arah pembangunan bandar yang inklusif, mampan dan berdaya huni.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua PBT dalam memperkukuh tadbir urus, memperluas perkongsian kepakaran serta meningkatkan keupayaan pelaksanaan Reka Bentuk Sejagat melalui pertukaran pengalaman dan amalan terbaik.

MPKS komited untuk terus memperkasakan agenda aksesibiliti dan keterangkuman sosial ke arah merealisasikan persekitaran bandar yang mesra semua, berteraskan prinsip “Aksesibiliti untuk Semua”, agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan dan perkhidmatan bandar secara adil, selamat dan saksama.

#MPKS #MPHS #RekaBentukSejagat #UniversalDesign #AksesibilitiUntukSemua #PasukanAuditAksesibiliti #BandarInklusif #SmartCity #MesraOKU 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS