LAWATAN KETUA SETIAUSAHA NRES KE KUALA SELANGOR SEMPENA PENCALONAN ANJUNG UTARA SELANGOR SEBAGAI RIZAB BIOSFERA UNESCO
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menerima kunjungan YBhg. Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), bersama delegasi sempena Program Turun Padang ke lokasi pencalonan Anjung Utara Selangor sebagai Rizab Biosfera di bawah Program Man and the Biosphere (MAB), UNESCO pada 20 Oktober 2026 (Selasa).
Program lawatan ini melibatkan beberapa lokasi strategik, antaranya Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Pusat Kecemerlangan Hutan Simpan Raja Musa, Galeri Pengairan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Regulator Sungai Burong, Hab Operasi dan Galeri Pembangunan Sabak Bernam Development Area - SABDA, serta lokasi pelancongan dan warisan di Kuala Selangor termasuk Bukit Malawati, Pekan Lama Kuala Selangor dan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan.
Semasa lawatan di Hab Operasi dan Galeri SABDA, delegasi berpeluang meninjau inisiatif pembangunan serta perancangan pembangunan kawasan utara Selangor. Lawatan ke Bukit Malawati dan Pekan Lama Kuala Selangor pula memberi tumpuan kepada aspek sejarah, warisan dan landskap, manakala Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan mengetengahkan kepentingan pemuliharaan biodiversiti serta ekosistem semula jadi.
Pencalonan Anjung Utara Selangor sebagai Rizab Biosfera UNESCO merupakan satu usaha penting dalam memperkukuh pemuliharaan alam sekitar, perlindungan biodiversiti dan pembangunan mampan, di samping memastikan keseimbangan antara pemeliharaan ekosistem dengan pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.
MPKS komited untuk terus menyokong usaha pemuliharaan khazanah alam semula jadi dan warisan daerah demi kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat Kuala Selangor.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

