Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI BERSEPADU KILANG BARANGAN KITAR SEMULA TANPA KEBENARAN DAN PREMIS PENGOPERASIAN MESIN BITCOIN DI BESTARI JAYA

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Kilang Barangan Kitar Semula Tanpa Kebenaran dan Operasi Premis Pengoperasian Mesin Bitcoin pada 21 Oktober 2026 (Rabu), bertempat di Taman Perindustrian Teknologi BB, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Operasi yang dijalankan ini hasil daripada aduan awam serta pemantauan anggota melibatkan pemeriksaan terhadap empat lokasi, termasuk sebuah premis pemprosesan barangan kitar semula plastik yang beroperasi tanpa lesen serta tiga premis pengoperasian dan penyimpanan mesin Bitcoin yang dikesan mempunyai isu usikan meter elektrik.

Operasi bersepadu ini melibatkan 58 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan MPKS serta agensi berkaitan, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta Pengurusan Air Selangor.

Hasil tindakan penguatkuasaan telah diambil melibatkan penutupan empat premis, pengeluaran 11 kompaun dan 10 notis, serta empat sitaan berinventori. Sebanyak 390 unit mesin Bitcoin turut disita, selain peralatan dan barangan lain yang berkaitan.

Kompaun yang dikeluarkan melibatkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, meletakkan barang berkaitan tred di tempat awam di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), tidak memastikan premis sentiasa bersih di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, serta membuat pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan bertulis di bawah Seksyen 70(11), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Selain itu, tindakan susulan turut melibatkan semakan pematuhan syarat lesen perniagaan, kawalan bangunan, kebersihan premis, kebenaran merancang, syarat nyata tanah serta pemeriksaan dan tindakan berkaitan meter elektrik dan bekalan air oleh agensi berkaitan.

MPKS akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, di samping menangani aktiviti perniagaan tanpa kebenaran dalam kawasan pentadbiran MPKS.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS