MPKS KOMITED DALAM “MENGIKTIRAF POTENSI, MEMPERKASA INKLUSIVITI”
Majlis Anugerah Inklusif OKU Selangor 2026 telah berlangsung pada 21 Oktober 2026 di Wyndham Acmar Klang, Selangor, dengan tema “Mengiktiraf Potensi, Memperkasa Inklusiviti”. Majlis ini merupakan manifestasi penghargaan terhadap keupayaan, kegigihan, bakat dan sumbangan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), di samping mengiktiraf individu serta organisasi yang komited dalam memperjuangkan agenda inklusiviti di Negeri Selangor.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YB Puan Anfaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, sebelum disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor.
Dalam ucapan perasmian, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor menegaskan bahawa kemajuan negeri perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti OKU yang mempunyai bakat, kemahiran dan aspirasi tersendiri. Sehubungan itu, peluang yang adil, persekitaran yang mudah diakses serta sokongan berterusan perlu diperkukuh bagi membolehkan golongan OKU menjalani kehidupan yang lebih berdikari dan bermaruah.
Sebanyak 12 anugerah telah disampaikan merangkumi empat kategori utama bagi mengiktiraf komitmen pelbagai pihak dalam memperkasa keterangkuman sosial serta memperluas peluang dan penyertaan golongan OKU.
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) turut menerima Anugerah Khas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Inklusif OKU Selangor 2026 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen pihak berkuasa tempatan dalam menyokong usaha memperkukuh keterangkuman dan kesejahteraan golongan OKU.
Turut hadir ke majlis ini Yang Dipertua MPKS, YBrs. Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri dan Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Ts. Faezah binti Abd. Aziz.
MPKS akan terus komited dalam memperkukuh usaha memperkasa golongan OKU serta mewujudkan persekitaran perbandaran yang inklusif, mesra OKU dan mampan demi kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat.
Kredit Foto : Majlis Perbandaran Hulu Selangor
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

